Hapuskanlah air matamu,...


 


Sering mengeluh itu dan ini, masih terus menagih janji dari-Nya. Kita terlupa bahawa kehidupan bukan sekadar keluar mencari rezeki dan meneruskan kehidupan. Tetapi kehidupan ini adalah sebuah perjalanan mencari benih-benih Rahmat untuk dituai di Syurga sana.

Kita lupa meletakkan diri di tangan-Nya. Kita sering bersikap sombong kepadaNya dan bergantung sepenuhnya di atas usaha. Sedangkan tawakal kepadaNya adalah punca utama rezeki, dan perkara inilah yang sering ditinggalkan dan dilupakan.

Lupakah kita dengan sikap tamak Qorun dan rakusnya Firaun? Mereka hidup seperti tiada ajal yang bakal menjemput. Mereka lupa bahawa ada yang lebih agung sedang memerhati dan mengawal hidupnya. Namun insan-insan agung seperti Ismail sering mendapat Rahmat dan Kurnia dari Allah hanya kerana Tawakal.

Ketika Ibrahim diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih Ismail, tiada apa yang diragukan, tiada apa yang ditakutkan. Berkata Ibrahim kepada Ismail, "Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pandanganmu?" Ismail menjawab, "Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk dari orang-orang yang sabar." (Surah as-Saffat:102)

Lihatlah ayat yang dituturkan oleh Ismail kepada ayahandanya. Baginda menghapuskan peranan dirinya dan menafikan kehadirannya dalam melaksanakan perintah Allah. Baginda tidak mengaku sebagai seorang yang berani dan berjiwa satria. Baginda menyerahkan segala urusan baginda kepada penciptanya, iaitu Allah dengan mengatakan "insyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk dari orang-orang yang sabar".