Hapuskanlah air matamu,...


 


Sering mengeluh itu dan ini, masih terus menagih janji dari-Nya. Kita terlupa bahawa kehidupan bukan sekadar keluar mencari rezeki dan meneruskan kehidupan. Tetapi kehidupan ini adalah sebuah perjalanan mencari benih-benih Rahmat untuk dituai di Syurga sana.

Kita lupa meletakkan diri di tangan-Nya. Kita sering bersikap sombong kepadaNya dan bergantung sepenuhnya di atas usaha. Sedangkan tawakal kepadaNya adalah punca utama rezeki, dan perkara inilah yang sering ditinggalkan dan dilupakan.

Lupakah kita dengan sikap tamak Qorun dan rakusnya Firaun? Mereka hidup seperti tiada ajal yang bakal menjemput. Mereka lupa bahawa ada yang lebih agung sedang memerhati dan mengawal hidupnya. Namun insan-insan agung seperti Ismail sering mendapat Rahmat dan Kurnia dari Allah hanya kerana Tawakal.

Ketika Ibrahim diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih Ismail, tiada apa yang diragukan, tiada apa yang ditakutkan. Berkata Ibrahim kepada Ismail, "Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pandanganmu?" Ismail menjawab, "Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk dari orang-orang yang sabar." (Surah as-Saffat:102)

Lihatlah ayat yang dituturkan oleh Ismail kepada ayahandanya. Baginda menghapuskan peranan dirinya dan menafikan kehadirannya dalam melaksanakan perintah Allah. Baginda tidak mengaku sebagai seorang yang berani dan berjiwa satria. Baginda menyerahkan segala urusan baginda kepada penciptanya, iaitu Allah dengan mengatakan "insyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk dari orang-orang yang sabar".
 
Indahnya hidup. Hidup yang penuh kehambaan dan mengetahui bahawa peranan insan di dunia hanyalah untukNya.

Sedikit atau banyak rezeki yang dicari, akan berasa nikmat jika dinilai atas dasar ibadah dan takwa. Hidup atau mati, tiada siapa yang tahu. Teruskanlah langkah dan larimu di muka bumi, hati-hati jangan sampai tersadung. Dunia ini ibarat sebuah kapal yang sedang belayar.

Kadang-kadang dilambung ombak, kadang laju ditiup angin yang deras. Tetapi tujuan akhir pelayaran ada destinasi. Destinasi yang tidak pasti, sama ada berakhir dengan baik atau buruk. Namun, belayar tetap belayar.



2 comments: